Ahad, 11 Disember 2011
KD Tun Razak - Siapa Papagomo Yang Mendapat Layanan Begitu Istimewa?
Siapa Papagomo ini sehingga mendapat hak istimewa sebegitu rupa, mengalah orang lain yang juga penting kepada politik dan keselamatan negara?
Benar juga jika Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan tindakan Kementerian Pertahanan membenarkan seorang penulis blog untuk menaiki kapal selam Scorpene.
Ada benarnya jika Anwar mengatakan tindakan itu mungkin menjejaskan keselamatan negara.
Walaupun blogger berkenaan yang menulis dengan nama samaran Papagomo, tidak menyertai ketika KD Tun Razak membuat selaman membawa Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan dua orang timbalannya - Datuk Mansor Othman dan P Ramasamy - di Langkawi Jumaat lalu, tindakan kementerian itu boleh dipersoalkan.
Untuk menunjukkan beliau mendapat layanan istimewa kerajaan dan mungkin Menteri Pertahanan, sejak dua hari lalu, Papagomo telah menulis di blognya bahawa beliau adalah "blogger pertama belayar di atas kapal selam Scorpene KD Tun Razak".
Dalam pos blognya semalam, beliau mengakui berada di kapal selam itu selama kira-kira lima jam, dan telah menemubual anak-anak kapal perkara-perkara berhubung kapal selam berkenaan yang dipercayai adalah rahsia negara.
Menurut Anwar kehadiran penulis blog pro-Umno di kapal selam Scorpene itu mungkin telah menyebabkan keselamatan negara dikompromi.
Sambil memidas, penulis blog yang disifatkan oleh Anwar sebagai tali barut Umno, katnya, mereka bertindak seolah-olah tidak perlu mematuhi mana-mana undang-undang negara.
Anwar yang juga ketua umum PKR berkata demikian kepada pemberita pada majlis makan malam amal parti itu di Straits Quay Pulau Pinang, malam tadi.
Apabila diberitahu bahawa wartawan, selain wartawan Bernama dan TV3, media lain dihalang daripada menyertai rombongan itu, Anwar berkata perkara itu membuktikan kata-katanya bahawa ada orang yang di atas undang-undang".
"Semua serangan keji yang dilakukannya (Papagomo) ke atas orang lain kerana sedar dirinya di atas undang-undang," kata Anwar.
Justeru, kata Anwar, kehadiran Papagomo di sekitar kapal selam berkenaan merupakan satu isu penting bagi pihak pembangkang ketengahkan kerana keselamatan negara mungkin telah terjejas.
Beliau mendesak pihak polis supaya segera menyiasat perkara itu.
Setiausaha publisiti DAP, Tony Pua berkata Menteri Pertahanan Datuk Seri Zahid Hamidi didesak menjelaskan kepada rakyat, apakah keistimewaan penulis blog Papagomo sehingga dibenarkan menaiki kapal selam Scorpene KD Tun Razak, Jumaat lalu.
Dalam kenyataan medianya, beliau berkata kehadiran penulis blog pro-Umno dalam kapal selam berkenaan telah membuktikan bahawa Zahid yang juga naib presiden Umno telah berbohong.
Beliau sebelum ini dilaporkan berkata tidak ada penulis blog yang dibenarkan menaiki kapal selam itu melainkan wartawan Bernama dan TV3 yang turut disertai oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan dua timbalannya.
"Keistimewaan yang dimiliki Papagomo adalah jelas membuktikan salah guna kuasa, dan menteri pertahanan mesti menjelaskan kepada seluruh rakyat Malaysia tentang pembohongannya dan hubungan intimnya dengan blogger Umno itu," katanya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan