Selasa, 3 Januari 2012

100 Tahun Memertabatkan Islam di Negeri Terengganu

http://apakhabarganu.blogspot.com/ (January 3, 2012)
 
Gambar - Sultan Zainal Abidin III yang telah memerintah dengan Undang-undang Islam Itqan al-Muluk Bi Ta'Dil as-Suluk

‘Hairan bin Ajaib’ apabila pemimpin Umno, khususnya pemimpin Umno negeri Terengganu tidak mahu melaksanakan undang-undang Islam.

Samada pemimpin-pemimpin Umno jahil atau sengaja mahu menolak undang-undang Islam, kerana sesungguhnya undang-undang Islam telah wujud dan dilaksanakan di negeri Terengganu sejak tahun 1303 Masehi/ 702 Hijrah.

Dan sedarlah kita semua bahawa, apa pun diberikan nama undang-undang itu, samada undang-undang Batu Bersurat atau Undang-undang Itqan al-Muluk Bi Ta’Dil as-Suluk, atau Enamen Jenayah Syariah Hudud dan Qisas, semuanya adalah berdasarkan undang-undang islam yang mesti kita, sebagai orang-orang Islam menerima dan melaksanakannya.


Tuduhan Hudud PAS bukan Hudud Islam, yang digunakan oleh Umno serta konco-konconya tidak benar samasekali, kerana sejarah telah membuktikan, hukuman Hudud yang serupa pernah tercatat diatas Batu Bersurat dan pada Itqan al-Muluk Bi Ta’Dil as-Suluk.

Negeri Terengganu Paling Awal Laksanakan Undang-undang Islam

Negeri Terengganu ialah diantara negeri yang terawal menerima dan melaksanakannya undang-undang Islam berdasarkan Batu bersurat telah dijumpai pada tahun di Hulu Terengganu.

Batu Bersurat ditemui separuh tenggelam selepas banjir surut di tebing Sungai Tersat di Kuala Berang, Hulu Terengganu pada tahun 1899.

Tarikh tepat bagi penulisan batu bersurat ini tidak dapat ditentukan dengan tepat.

Namun, teks pada batu bersurat ini ada menyatakan mengenai tarikh ia ditulis, iaitu "Jumaat di bulan Rejab di tahun saratan di sasanakala Baginda Rasulullah telah lalu tujuh ratus dua"

Menurut kajian yang dilakukan oleh Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas, tarikh bagi batu bersurat ini ialah Jumaat, 4 Rejab 702 H, bersamaan dengan 22 Februari 1303

Undang-undang Islam Batu Bersurat

Ianya sebagai satu bukti undang-undang Islam telah dilaksanakan di Terengganu.
Catatan yang terkandung pada batu ini menyebut Islam sebagai agama rasmi dan menerangkan hukum-hukum Islam tentang maksiat dan segala kemungkaran

Pada batu bersurat tersebut jelas menyatakan antaranya hukuman zina, seratus rotan bagi bujang dan rejam bagi yang dah berkahwin (22 Februari 1303)

Batu tersebut menggariskan beberapa hukum-hukum syariat yang diguna pakai. Tiga butiran undang-undang telah hilang bersama bahagian Batu yang tidak dapat dikesan. Peraturan yang keempat ialah berkaitan hutang-piutang. Peraturan kelima dan keenam tidak dapat dipastikan kerana sebahagian hurufnya telah hilang. Cuma ia dapat dipastikan masih berkaitan muamalat.
Peraturan yang jelas terpelihara dan dapat dibaca dengan baik ialah berkaitan zina, seperti berikut[16]:

“Orang berbuat bala cara laki laki perempuan setitah Dewata Mulia Raya jika merdeka bujang palu Seratus ratun jika merdeka beristeri Atawa perempuan bersuami ditanam hingga ka Pinggang di hambalang dengan batu dimatikan.

Ada beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian. Pertama tarikh yang terpahat pada batu bersurat tersebut iaitu 1303M. Tarikh ini adalah mendahului pengislaman Sultan Melaka iaitu sekitar 1404M selama seratus tahun. Ini bermakna dalam konteks sejarah tanah Melayu, sistem pemerintahan Islam telah lama berdiri di Kuala Berang jauh sebelum berdirinya sebuah kerajaan beragama Islam di Melaka. Tarikh ini sebenarnya tidak begitu menonjol kerana pada waktu yang sama berdiri sebuah Kerajaan beragama Islam di Samudera Pasai dengan Islamnya raja Meurah Silu

Ia juga membuktikan undang-undang Islam telah diistiharkan sebagai Undang-undang negeri.

Perentah raja dan rakyat supaya berpegang dengan ajaran Islam dinyatakan dengan jelas seperti terjemahan Batu Bersurat yang diusahakan oleh Dato’ Haji Muhammad Saleh bin Haji Awang (MISBAHA)[17].

”Rasulullah berserta dengan sahabat-sahabat atau Rasulullah dengan ruh-ruh yang suci. Percaya keesaan Allah Subhanahu wa Ta’ala, Tuhan yang Maha suci lagi Maha Tinggi menyuruh sekelian rakyat berpegang teguh kepada ajaran-ajaran Agama Islam. Berserta dengan penuh hormat pada undang-undang, memerintah hamba-hamba Tuhan Yang Maha Suci lagi Maha Tinggi. Di negeri ini, mereka yang menerangkan ajaran-ajaran Rasulullah salla Llahu alaihi wa sallam di muka bumi ini ialah sekelian raja Mandalika. Penerangan atau pemasyuran itu adalah kewajipan yang mesti dijalankan oleh raja Mandalika yang berugama Islam. Mengikut perintah Tuhan Yang Maha Suci lagi Maha Tinggi dengan mengambil pandangan atau penentuan yang sebenar. Di atas pengajaran-pengajaran itu di negeri ini bagaimana yang dibentang atau diterangkan di dalam pemasyhuran itu dan bila Seri Paduka. Mula memerintah supaya membuat tulisan ini di Negeri Terengganu maka masa itu ialah pada Hari Jumaat yang pertama di dalam bulan Rejab tahun saratan di zaman Rasulullah telah berlalu tujuh ratus dua tahun”

Undang-undang Islam Itqan al-Muluk Bi Ta’dil as-Suluk

Sebagai seorang sultan yang mempunyai latarbelakang pendidikan agama yang luas dan diakui kealimannya, Sultan Zainal Abidin jelas mempraktikkan amalan syura untuk membuat sebarang keputusan berkait dengan pemerintahan negeri.

Keputusan yang dibuat adalah berdasarkan prinsip syura yang dituntut oleh Islam, bukannya kerana terpaksa tunduk dengan penasihatpenasihatnya seperti yang didakwa oleh pegawai-pegawai British yang tidak memahami prinsip asas pemerintahan Islam.

Peruntukan bahawa amalan syura yang dilaksanakan dalam pemerintahan negeri seperti yang terkandung dalam Undang-undang Tubuh Negeri Terengganu membuktikan bahawa Sultan Zainal Abidin III mengutamakan amalan syura dalam pemerintahan baginda.(Undang-undang Tubuh Kerajaan Terengganu 1973:5)

Semasa Terengganu diperintah oleh Sultan Zainal Abidin III (1881-1918), pelaksanaan undang-undang Islam di Terengganu terserlah. Undang-undang Islam dijadikan sebagai undang-undang negeri dimana Baginda telah menyusun pentadbiran mahkamah, menggubal Undang-undang Mahkamah dan Perlembagaan Negeri.

Undang-undang mahkamah telah digubal dan diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Negeri semasa negeri Terengganu diperintah oleh Sultan Zainal Abidin III. Undang-undang ini digubal mengikut al-Qawa 'ed al-Syar'iah atau al-Qawa'ed al-Fiqhiyyah, mengandungi tiga belas (13) bab, meliputi tugas-tugas pegawai-pegawai dan kakitangan mahkamah, hukuman dan perbelanjaan mahkamah.

Pada keseluruhannya undang-undang mahkamah ini mengikut sistem kehakiman Islam. Bolehlah dikatakan pada masa itu bahawa undang-undang ini ternyata begitu kemas dan tersusun rapi dan ianya menyelaras pentadbiran dan perjalan mahkamah di seluruh Terengganu diatas dasar dan perinsip kehakiman Islam.

Dalam masa pemerintahan, Baginda juga telah membuat Undang-undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu yang dinamai akan dia Itqaanul Muluk bit Ta'dilis Suluk pada 1329H bersamaan 1911M. Fasal yang kelima puluh satu (51) undang-undang berkenaan memperuntukkan mengenai agama negeri dan agama lain dengan menyebut:

Sesungguhnya telah disifatkan dan disebut dan ditetapkan selama-lamanya Kerajaan Terengganu ini Kerajaan Islamiah Melayuwiah ialah yang dikatakan agama negeri dan kerajaan maka tiadalah boleh sekali-kali sebarang agama lain dijadikan atau disebut agama negeri sekalipun banyak segala bangsa dan agama diamankan dan dibenarkan masuk diam di dalam negeri dan jajahan Terengganu.

Walaupun terpaksa menerima kehadiran pihak British, Sultan Zainal Abidin III bertegas dengan prinsip dan keputusannya sehingga Sir John Anderson, bersetuju dengan draf perjanjian yang secara keseluruhan dirangka semula oleh baginda.

Dalam perjanjian tersebut secara jelas diperakukan bahawa negeri Terengganu merupakan negeri Malayuwiyyah Islamiyyah yang memerintah sendiri.

Sikap ini sebenarnya menunjukkan bahawa Sultan Zainal Abidin III tetap tidak mahu tunduk dan menyerahkan kemerdekaan Terengganu kepada Kerajaan British, sebuah kerajaan bukan Islam atau kafir.

Ketegasan Sultan Zainal Abidin III juga menjadikan negeri Terengganu satu-satunya negeri Melayu yang masih belum dikuasai sepenuhnya oleh pihak British.


Posted by apa khabar ganu kita at 3:23 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan