Sabtu, 11 Februari 2012

Penasihat Agama Perdana Menteri Sedang Tidur ke?

Apa jadi dengan Penasihat Agama Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Md Zin yang sunyi sepi selepas satu negara memperkatakan mengenai ulasan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang berani menyatakan kebenaran dengan membantah kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Batu Caves sempena perayaan Thaipusam pada hari Selasa.

Ahli Parlimen Besut itu tidak baca akhbar ke? Atau orang-orangnya tidak membantu beliau menyampaikan apa yang dikatakan oleh Harussani itu?

Tak faham jenis penasihat agama apa ni.

Pertama, apakah dia tidak menasihat Najib, jika ke majlis seperti di Batu Caves itu apa yang perlu dibuat dan apa pula yang tidak perlu dibuat?

Keduanya, selepas Harussani belasah Najib, apa yang dia buat? Berdiam diri biarkan bosnya di belasah?

Apakah ini bermakna benar semua apa yang Harussani kata mengenai Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor?

Sedangkan kini suara sebanyak banyak mendesak agar Mufti, Jawatankuasa Fakta dan JAKIM mengeluarkan kenyataan untuk membersihkan kekeliruan orang ramai mengenai tindakan Najib.

Kalau kenyataan Harussani itu salah, sanggahlah.

Baca juga kenyataan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS ini:

Kehadiran Najib Di Batu Caves : Para Mufti Perlu Bersuara
Posted on Saturday, February 11 @ 04:29:45 PST( tranungkite,net)

Oleh Riduan Mohd Nor

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria kerana berani menyatakan kebenaran dengan membantah kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Batu Caves sempena perayaan Thaipusam pada hari Selasa.

Dalam satu kenyataan, beliau melahirkan rasa terkilan kerana Datuk Seri Najib Tun Razak sanggup ‘menggadai akidah’ apabila hadir dalam upacara keagamaan sempena perayaan Thaipusam di Batu Caves.
DPPM melihat keberanian inilah yang perlu ditunjukkan oleh para Mufti di negara ini apabil melihat kemungkaran berlaku di depan mata tanpa mengira siapa pun pelakunya. Soal aqidah umat mesti menjadi keutamaan dan para ulama’ tidak harus berdiam diri apabila melihat aqidah umat rapuh atau runtuh.

Kehadiran Datuk Seri Najib Tun Razak di Batu Caves sempena perayaan Thaipusam sememangnya mengundang kegelisahan umat Islam di negara ini. Meskipun Datuk Seri Najib hadir atas kapasiti beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ingin mengucapkan selamat menyambut perayaan kepada penganut agama Hindu, disisi Islam perbuatan tersebut tidak wajar dilakukan.

Walaupun agama Islam tidak pernah melarang penganut agama lain merayakan perayaan masing-masing, namun Islam tetap mengharamkan umatnya menyambut perayaan agama lain kerana ia boleh menjejaskan aqidah umat Islam.

Kehadiran Datuk Seri Najib dikhuatiri akan merosakkan aqidah beliau dan umat Islam yang lain memandangkan beliau adalah Perdana Menteri di negara ini, dan tindakan beliau pasti akan diikuti oleh rakyat jelata. Perdana Menteri tidak perlu hadir ke Batu Caves hanya untuk mengucapkan selamat menyambut perayaan atau menyerahkan kepada pemimpin MIC untuk mengucapkan selamat menyambutnya.

Tindakan Perdana Menteri itu menunjukkan beliau amat kemaruk untuk mendapatkan pengaruh dan populariti bagi mengekalkan kuasa beliau sehingga sanggup melanggar syariat dan aqidah. DPPM hairan mengapa penasihat agama beliau termasuk Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir tidak tampil lebih awal memberikan nasihat supaya beliau tidak hadir ke Batu Caves bagi mengelakkan kritikan rakyat.

Oleh itu, DPPM meminta lebih ramai para mufti, para ulama’ dan agamawan di negara ini bersuara bagi menyatakan kebenaran di sebalik isu ini. Bagi DPPM, apa juga pandangan ulama’ perlu diambil kira biarpun hasilnya pahit untuk ditelan. Demi aqidah umat, tiada siapa harus berdiam diri atau menyembunyikan kebenaran!

Disediakan oleh;
RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan