Rabu, 8 Februari 2012

Terengganu : Apa Rasional Beli Stesen Radio?

"Kini, rakyat umum bercakap; Ahmad Said juga bakal menjadi DJ untuk stesen radio Manis FM yang lahir di Kelantan, Darul Naim. Jika Ahmad Said menjadi DJ Manis FM sudah pasti rakyat Terengganu akan terhibur dengan kerja-kerja penerangan dan hiburan menjadi lebih mudah untuk dilaksanakan...di manakah kepentingan untuk rakyat diutamakan?


Oleh SYED AZMAN SYED AHMAD

RAMAI di kalangan rakyat Terengganu tertanya-tanya mengenai pembelian stesen Radio Manis FM yang berpangkalan di Kota Bharu oleh kerajaan negeri dengan harga RM7 juta.

Stesen radio ini pada asalnya merupakan stesen Radio KADA milik Tan Sri Hussein Ahmad yang diberi lesen radio berkenaan melalui Husa Network Sdn Bhd.

Radio Manis FM dengan rasminya menjadi radio kerajaan negeri apabila proses mengambilalih stesen berkenaan dilakukan oleh Lembaga Tabung Amanah Terengganu (LTAT) pada pertengahan tahun lalu.

Stesen berpangkalan di Kelantan itu juga dijangkakan berpindah ke bangunan berhampiran Wisma Darul Iman untuk menempatkan stesen berkenaan menjalankan operasi siaran harian. Kawasan liputan stesen ini merangkumi negeri Kelantan, Pahang, Terengganu, Selatan Thailand dan sebahagian di kawasan tengah dan selatan tanah air.

Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said dalam mempertahankan pembelian stesen radio tersebut berkata bahawa rasional pembelian stesen radio ini oleh kerajaan negeri kerana ia adalah "satu pelaburan yang strategik dan dapat menyalurkan maklumat kerajaan secara lebih luas dan menyeluruh."

Kata beliau lagi, tidak banyak kerajaan negeri yang memiliki stesen radio sendiri dan pihaknya mencuba sesuatu yang boleh mendatangkan kebaikan kepada kerajaan negeri dan rakyat.

Seperti kebanyakan rakyat Terengganu, saya juga tertanyatanya; apakah rasional pembelian stesen radio oleh kerajaan negeri dengan nilai RM 7 juta?
Apakah ia suatu yang munasabah?

Ramai pula yang tertanya-tanya apakah kerajaan negeri pimpinan Ahmad Said tidak mampu memohon kelulusan lesen sendiri daripada Kerajaan Pusat di bawah pimpinan Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak?

Lojiknya sekiranya pembelian stesen radio ini adalah untuk kebaikan kepada kerajaan negeri dan rakyat’, maka saya yakin Perdana Menteri tidak akan teragak-agak meluluskan lesen baru kepada kerajaan negeri.

Negeri Terengganu bukannya dikuasai oleh pembangkang dan Ahmad Said adalah Menteri Besar daripada Umno-BN yang juga menguasai kerajaan Pusat. Tidak ada sebab untuk Perdana Menteri menolak permohonan lesen stesen radio baru kepada negeri "Penyu Bertelu"r ini sekiranya ia adalah "untuk kebaikan kepada kerajaan negeri dan rakyat."

Tanpa kajian

Begitu juga dengan rasional harga RM7 juta yang dibayar oleh kerajaan negeri kepada stesen radio KADA. Apakah harga sebesar itu munasabah bagi memiliki sebuah lesen stesen radio? Apakah kerajaan negeri telah melakukan kajian menyeluruh dengan mengambil kira segala implikasi buruk baik sebelum membeli sebuah stesen radio.

Bagaimanakah pula dengan kos mengendalikan sebuah stesen radio? Siapakah yang akan
mengendalikan stesen radio ini? Kos pentadbiran, gaji bulanan deejay, pembayaran royalti lagu-lagu yang diputarkan setiap hari sehingga ke gaji kerani, berapakah pula kos yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan Terengganu?

Setahu saya tidak ada kerajaan negeri di bawah Umno-BN hari ini yang telah melabur untuk membeli stesen radio melainkan kerajaan negeri Terengganu di bawah kepimpinan Ahmad Said.

Tambahan pula di setiap negeri sudah ada siaran radio yang dipancarkan melalui RTM. Kalau mereka mahu mewujudkan sebuah stesen radio sekalipun, mereka hanya perlu memohon terus kepada Kerajaan Pusat yang juga di bawah Umno-BN.

Malahan di Terengganu sekarang ini kita sudah ada stesen radio RTM Pantai Timur Terengganu, kita sudah ada Hot FM TGanu dan Terengganu FM (TFM) yang disiarkan setiap hari di seluruh pelosok negeri.

Bagi saya, dengan adanya stesen ini sudah mencukupi untuk kerajaan negeri "menyalurkan maklumat kerajaan secara lebih luas dan menyeluruh." Malah sekiranya Menteri Besar Ahmad Said mahu berucap setiap hari sekalipun pasti akan diberikan ruang oleh stesen RTM Terengganu.

Kini, rakyat umum bercakap; Ahmad Said juga bakal menjadi DJ untuk stesen radio Manis FM yang lahir di Kelantan, Darul Naim. Jika Ahmad Said menjadi DJ Manis FM sudah pasti rakyat Terengganu akan terhibur dengan kerja-kerja penerangan dan hiburan menjadi lebih mudah untuk dilaksanakan.

Jadi di manakah kepentingan untuk rakyat diutamakan? Jika sekadar slogan semata-mata ia tidak memadai dan rakyat akan terus-menerus menjadi mangsa kepada kerakusan sebuah pentadbiran yang dilihat ramai sebagai terlalu lemah dan tidak mempunyai visi dan misi.

Ya, inilah nasib rakyat Terengganu. Kepimpinan Menteri Besarnya "terlalu cerdik" dalam segala hal.

Daripada membela binatang gajah, rusa dan harimau di Zoo Kemaman dalam keadaan masih terlalu ramai rakyat yang perlu dibela; wang daripada membeli binatang berkenaan termasuk burung-burung dengan harga beribu-ribu ringgit tetapi tidak mendatangkan faedah kepada rakyat yang rata-rata hidup "kais pagi makan pagi, kais petang makan petang", lebih baik disalurkan di tempat lebih bermanfaat.

DetikDaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan