Memaparkan catatan dengan label Najib. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Najib. Papar semua catatan

Sabtu, 11 Februari 2012

Penasihat Agama Perdana Menteri Sedang Tidur ke?

Apa jadi dengan Penasihat Agama Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Md Zin yang sunyi sepi selepas satu negara memperkatakan mengenai ulasan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang berani menyatakan kebenaran dengan membantah kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Batu Caves sempena perayaan Thaipusam pada hari Selasa.

Ahli Parlimen Besut itu tidak baca akhbar ke? Atau orang-orangnya tidak membantu beliau menyampaikan apa yang dikatakan oleh Harussani itu?

Tak faham jenis penasihat agama apa ni.

Pertama, apakah dia tidak menasihat Najib, jika ke majlis seperti di Batu Caves itu apa yang perlu dibuat dan apa pula yang tidak perlu dibuat?

Keduanya, selepas Harussani belasah Najib, apa yang dia buat? Berdiam diri biarkan bosnya di belasah?

Apakah ini bermakna benar semua apa yang Harussani kata mengenai Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor?

Sedangkan kini suara sebanyak banyak mendesak agar Mufti, Jawatankuasa Fakta dan JAKIM mengeluarkan kenyataan untuk membersihkan kekeliruan orang ramai mengenai tindakan Najib.

Kalau kenyataan Harussani itu salah, sanggahlah.

Baca juga kenyataan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS ini:

Kehadiran Najib Di Batu Caves : Para Mufti Perlu Bersuara
Posted on Saturday, February 11 @ 04:29:45 PST( tranungkite,net)

Oleh Riduan Mohd Nor

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria kerana berani menyatakan kebenaran dengan membantah kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Batu Caves sempena perayaan Thaipusam pada hari Selasa.

Dalam satu kenyataan, beliau melahirkan rasa terkilan kerana Datuk Seri Najib Tun Razak sanggup ‘menggadai akidah’ apabila hadir dalam upacara keagamaan sempena perayaan Thaipusam di Batu Caves.
DPPM melihat keberanian inilah yang perlu ditunjukkan oleh para Mufti di negara ini apabil melihat kemungkaran berlaku di depan mata tanpa mengira siapa pun pelakunya. Soal aqidah umat mesti menjadi keutamaan dan para ulama’ tidak harus berdiam diri apabila melihat aqidah umat rapuh atau runtuh.

Kehadiran Datuk Seri Najib Tun Razak di Batu Caves sempena perayaan Thaipusam sememangnya mengundang kegelisahan umat Islam di negara ini. Meskipun Datuk Seri Najib hadir atas kapasiti beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ingin mengucapkan selamat menyambut perayaan kepada penganut agama Hindu, disisi Islam perbuatan tersebut tidak wajar dilakukan.

Walaupun agama Islam tidak pernah melarang penganut agama lain merayakan perayaan masing-masing, namun Islam tetap mengharamkan umatnya menyambut perayaan agama lain kerana ia boleh menjejaskan aqidah umat Islam.

Kehadiran Datuk Seri Najib dikhuatiri akan merosakkan aqidah beliau dan umat Islam yang lain memandangkan beliau adalah Perdana Menteri di negara ini, dan tindakan beliau pasti akan diikuti oleh rakyat jelata. Perdana Menteri tidak perlu hadir ke Batu Caves hanya untuk mengucapkan selamat menyambut perayaan atau menyerahkan kepada pemimpin MIC untuk mengucapkan selamat menyambutnya.

Tindakan Perdana Menteri itu menunjukkan beliau amat kemaruk untuk mendapatkan pengaruh dan populariti bagi mengekalkan kuasa beliau sehingga sanggup melanggar syariat dan aqidah. DPPM hairan mengapa penasihat agama beliau termasuk Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir tidak tampil lebih awal memberikan nasihat supaya beliau tidak hadir ke Batu Caves bagi mengelakkan kritikan rakyat.

Oleh itu, DPPM meminta lebih ramai para mufti, para ulama’ dan agamawan di negara ini bersuara bagi menyatakan kebenaran di sebalik isu ini. Bagi DPPM, apa juga pandangan ulama’ perlu diambil kira biarpun hasilnya pahit untuk ditelan. Demi aqidah umat, tiada siapa harus berdiam diri atau menyembunyikan kebenaran!

Disediakan oleh;
RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia

Rabu, 28 Disember 2011

Ku Li - Mahathir Bukan Cerdik Sangat

Oleh Hishamuddin Rais

Tengku Razaleigh Hamzah meramalkan dalam pilihanraya umum ke 13 yang akan datang ini United Malay National Party (UMNO) akan menerima kekalahan lagi.

Dari pemerhatian beliau pengundi bukan Melayu semakin menjauhkan dari Barisan Nasional atau lebih tepat lagi lari dari UMNO.

Beliau dakwa ada kemungkinan Barisan Nasional dan juga Pakatan Rakyat tidak memiliki majoriti yang meyakinkan. Bila terjadi sedemikian, negara kita mungkin menghadapi krisis.

Menurut Ku Li, hampir 90% peratus pengundi China bersedia untuk mengundi Pakatan Rakyat. Ada pengundi India yang telah kembali menyokong Barisan Nasional, tetapi majoriti masih bersama Pakatan Rakyat. Pengundi Melayu pula kini terbahagi kepada dua.

Ku Li, ahli parlimen Gua Musang semenjak 1974 dan juga bekas Menteri Kewangan Malaysia, menganggap pentabiran dibawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak ini amat lemah dan tidak memahami krisis ekonomi global yang sedang melanda dunia sekarang.

Mengikut Ku Li pentabiran sekarang ini selalu berdulak-dalik - flip flop - apabila mengajukan sesuatu dasar. Dasar sorong tarik ini terjadi kerana banyak dasar-dasar ini tidak difikirkan secara masak terlebih dahulu.

"Mereka tidak peduli satu apa pun... tetapi mereka tidak ingin masuk penjara," Ku Li memberi kesimpulan terhadap pentabiran Najib Razak.

Ku Li, seorang bekas penuntut Malay College Kuala Kangsar (MCKK), berkata demikian dalam satu makan tengah hari bersama beberapa orang murid tua MCKK minggu lalu.

Mengenai isu hak royalti minyak, Ku Li dengan tegas menerangkan bahawa perjanjian antara Petronas dengan negeri-negeri jelas disebutkan hak royalti dan tidak ada fasal yang menyebut wang ehsan.

Malah Ku Li amat berbangga kerana beliau sebagai Pengerusi Petronas 1974 telah bertanggung jawab membuat butiran perjanjian minyak ini atas arahan Tun Abdul Razak.

"Walaupun perjanjian ini dalam bahasa hukum-hakam tetapi amat jelas Petronas wajib memberi 5% kepada negeri dimana minyak ditemui."

Krisis tuntutan Kelantan terhadap royalti minyak ini hanya boleh diselesaikan jika Malaysia memiliki apa yang Ku Li namakan sebagai Mahkamah Perlembagaan atau Constitutional Court.

Beliau berpendapat telah sampai masa Malaysia mewujudkan Mahkamah Perlembagaan khusus untuk menyelesaikan isu yang berkaitan dengan perlembagaan seperti kedudukan Raja Raja Melayu, hak kebebasan rakyat , pilihanraya yang bebas atau tuntutan royalti minyak.

Kecekapan Ku Li ini sebagai pakar ekonomi dan Menteri Keewangan terbukti pada tahun 1979 apabila beliau telah berjaya mengambil alih kembali harta tanah Guthrie dalam apa yang dikenali sebagai 'the dawn raids'. Ketika itu Ku Li dilihat sebagai nasionalis ekonomi yang berjaya mengambil kembali harta negara yang telah dijarah oleh penjajah.

Mengikut lajenda politik Malaysia, Ku Li sepatut telah menang dalam pemilihan Presiden UMNO dalam tahun 1987 tetapi malangnya ketika pengiraan undi berjalan tetiba bilik menjadi gelap dan lampu leterik telah terpadam. Mahathir Muhamad telah berjaya menewaskan Ku Li dengan 43 undi apabila lampu terpasang kembali.

Ku Li tidak menimbulkan hal ini malah pertanyaan mengenai ' kes lampu padam' ini hanya akan dijawab dengan senyuman yang panjang. Ku Li enggan melintasi dilurah yang sama.

"Mahathir ini bukanlah cerdik sangat. Dia selalu menjalankan dasar 'ad hoc'. Selalu mencuri idea dan pandangan orang lain dan mengakui sebagai haknya," dakwa beliau.

"Dia curi-lah. Saya selalu melihat dia 'playing to the gallery'," kata Ku Li, menerangkan pandangan dan pengalaman beliau yang terkumpul selama 5 tahun bersama Mahathir Muhamad sebagai menteri.

Bila ditanya tentang Anwar Ibrahim Ku Li menerangkan bahawa dia hanya mengetahui Anwar sebagai aktivis belia. Walau pun mereka berdua belajar di Malay College tetapi mereka agak jauh bertelingah zaman.

Mengikut surah Ku Li, kali pertama secara rasmi dia dengar nama Anwar ialah dari Putera Muhamad anak kepada Raja Feisal dari Saudi Arabia. Ketika itu Ku Li sedang menjawat Pengerusi Bank Islam OIC. Putera Raja ini bertanya kepada Ku Li apakah patut Anwar Ibrahim dan ABIM ini dibantu oleh dana Yayasan Feisal.

"Sekarang Anwar sedang menjadi dilema kepada Najib. Ini mengikut lojik yang kita lihat. Saya yakin Anwar akan masuk penjara. Kalau Anwar bebas UMNO akan habis. Tidak dapat tidak Anwar akan dipenjara."

Ku Li merumuskan bahawa pentabiran pimpinan Najib Razak kebelakangan ini bukan sahaja lemah malah dalam huru hara. Mengikut pandangan Ku Li , Najib Razak sebagai Presiden UMNO terlepas peluang yang amat besar di Perhimpunan Agong UMNO yang baru berlangsung. Ketika mata dan telinga seluruh negara berpusat memandang ke PWTC, Najib tidak melaku-kan apa-apa terhadap Shahrizat.

"Shahrizat sepatutnya dibuang. Termasuk beberapa orang menteri yang nama mereka telah busuk ditelinga orang ramai. Tetapi Najib senyap membisu," katanya.

Apakah peranan yang masih boleh dimainkan oleh Putera raja dari Kelantan ini masih belum jelas. Ku Li dibesarkan di Istana dan dididik di Malay College — seharusnya menjadi kimia terbaik untuk memimpin negara ini. Ku Li dilihat sebagai sebagai ahli politik yang tidak membawa beban 'kerpai buruk'. Tetapi Ku Li juga adalah sosok yang berkontradiksi.

Ku Li tidak akan memboceng motosikal untuk berkempen jika jalan raya berasak asak. Ku Li juga tidak akan mengambil 'loud hailer' untuk menggumpulkan massa. Jauh sekali Ku Li untuk turun memasang poster atau memasang khemah atau turun berdemo. Tengku Razaleigh bin Tengku Mohd Hamzah ialah putera raja.

Mungkin inilah sosok yang digambarkan oleh Sir Frank Swetthenham 100 tahun dahulu : Gentleman Melayu Terakhir — The Last Perfect Malay Gentleman

Harakahdaily 28 Dis 2011

Ahad, 9 Oktober 2011

Najib Tak Faham Konsep Negara Berkebajikan Pakatan - Hadi

PAS mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak memahami konsep negara berkebajikan yang dibawa oleh Pakatan Rakyat apabila terus ‘menyindir’ langkah pihaknya termasuk yang terbaru ketika membentangkan Bajet 2012 kelmarin.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar) berkata, paling penting beliau harus memahami tiga ciri asas negara berkebajikan yang hampir tidak dilaksanakan oleh pemerintahan Barisan Nasional (BN) sehingga kini.

“Pertamanya negara berkebajikan mestilah ditadbir oleh pemerintah yang berintegriti atau beriman dan juga rakyat yang berintegriti,” kata beliau.

Kata Hadi, dengan membazirkan wang rakyat untuk membayar bil air dan elektrik rumah Perdana Menteri berjumlah jutaan ringgit tidaklah menggambarkan pemimpin yang berintegriti.

“Keduanya negara berkebajikan mestilah bercirikan kerajaan yang wajib memberi pertolongan kepada rakyat yang memerlukan secara adil.

“Ketiga, negara berkebajikan menekankan ciri kepimpinan yang beriman, berakhlak, menepati janji dan adil untuk semua,” kata Hadi sambil menambah, “nampaknya Perdana Menteri yang membentangkan belanjawan ini sebagai Menteri Kewangan gagal sama sekali memahami apa yang dimaksudkan oleh PAS sebagai Negara Berkebajikan.”

Malah kata beliau, tindakan kerajaan terus menafikan royalti minyak di Kelantan dan Terengganu sejak bertahun-tahun, jelas menggambarkan ciri pengkhianatan dan tidak menepati perjanjian, malah jauh sekali memenuhi ciri negara berkebajikan.

“Begitu juga dengan pemberian bantuan kepada rakyat yang bersifat bermusim dikala kerajaan memerlukan undi rakyat dan membiarkan rakyat tersepit dengan kenaikan harga barang dan petrol di luar waktu pilihanraya.

“Ini semua jelas kepada kita, hampir tiada ciri-ciri negara berkebajikan yang dilaksanakan oleh pemerintahan Barisan Nasional,” kata Hadi lagi.

Hadi seterusnya berkata begitu juga dengan manipulasi sistem pilihan raya melalui undi pos, daftar pemilih yang kotor, penggunaan jentera kerajaan dan memberi kad pengenalan kepada warganegara asing untuk mengundi, jelas satu tindakan tidak berintegriti dan tidak amanah serta menutup pintu muhasabah oleh rakyat dalam pilihan raya.

“Ini hanya beberapa contoh jelas bahawa BN jauh sekali menepati konsep negara berkebajikan yang hendak dibawa oleh PAS.

“Oleh itu rakyat harus sedar bahawa ‘negara berkebajikan’ yang hendak dibawa oleh PAS bersama Pakatan Rakyat jauh lebih besar dan luas kerangkanya meliputi hak rakyat untuk dilayan secara adil, agihan ekonomi yang adil, hak bepolitik secara bebas, keperluan sosial yang wajib dipenuhi, pemimpin dan rakyat yang berintegiti dan seterusnya membentuk Malaysia yang sejahtera dalam semua aspek, bukan sekali-kali bersifat pemberian habuan bersifat sementara di masa rakyat diperlukan semata-mata,” kata beliau lagi dalam satu kenyataan.

Hadi mengetengahkan dasar negara berkebajikan ketika berucap pada muktamar tahunan PAS Jun lalu.

Bagaimanapun pendekatan itu mendapat kecaman dan dikritik pemimpin-pemimpin Umno sejak itu.

Ini termasuklah ketika Najib, yang juga Presiden Umno ketika membentangkan Bajet 2012 di Parlimen kelmarin.

Antara lain Najib berkata, “kita kini mendengar pihak-pihak tertentu menguar-uarkan konsep negara berkebajikan. Kita ucapkan tahniah kepada mereka kerana baru sedar terhadap konsep negara kebajikan ini.”

Namun, katanya, “kita minta mereka ada sedikit rasa keikhlasan politik, janganlah berlagak seolah-olah merekalah orang pertama yang menemui formula ini.”

Sambil menyoal bukankah kerajaan BN sudah sejak sekian lama mengamalkan konsep negara berkebajikan, Najib berkata, keseluruhan subsidi bahan makanan asas ini menelan belanja RM2.3 bilion dan dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaya atau miskin, bandar atau luar bandar.”

“Oleh yang demikian itu, kita ingin bertanya, tidakkah ini dinamakan negara kebajikan?” katanya lagi.

The Malaysian Insider

Selasa, 20 September 2011

ISA: Najib Tunjukkan Dia Bos?

Harakahdaily (20 Sept 2011)

 Pemansuhan ISA...Najib ditentang UMNO dan Perkasa...

Datuk Seri Najib Razak dipercayai cuba menunjukkan kepada Umno dan Kabinet Malaysia bahawa dia adalah bos ketika mengumumkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) baru-baru ini.

Ini kerana, reaksi dari pihak Umno dan Kabinet mengesahkan dakwaan bahawa mereka tidak dirujuk dan perbincangan serta keputusan dibuat oleh beberapa 'inner circle'(kumpulan terdekat).

Demikian analisa yang dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS (PPP), Dr Dzulkefly Ahmad yang juga anggota Parlimen Kuala Selangor.

"Bagi saya, dia membuat pengumuman ini atas keputusan dirinya sendiri dan para penasihatnya sahaja bukan berbincang dengan rakan-rakan beliau bahkan mungkin menganggap timbalannya, Tan Sri Muhyidin dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamudin adalah liabliti dalam beberepa insiden mutakhir," kata beliau.


Menurut Dr Dzulkefly, nampak ketara sangat perbezaan itu sebaik sahaja ia dikemukakan oleh Najib ketika memberikan ucapan menjelang Hari Malaysia malam 16 September lepas.

"Timbalan beliau sendiri, Tan Sri Muhyidin hanya memberikan sokongan selepas dua hari ia dibentang Najib...nampak ada yang tak kena kerana terlalu lambat menyatakan sokongan kepada bos," kata beliau kepada Harakahdaily.


Hari ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamudin Husein mengakui, Umno terpaksa memberikan penerangan kepada semua ahli-ahlinya bagi menerangkan pemansuhan ini.

Pengumuman Najib menghapuskan ISA juga dilihat mendapat tentangan dari Umno dan juga sayap kanannya, Perkasa.

Bagi Dr Dzulkefly, apa yang dibuat oleh Najib adalah cubaan untuk pergi 'ke tengah' bagi mendapat kembali sokongan Cina dan India selepas kajian menunjukkan sokongan terhadap beliau merudum teruk dari 72 peratus kepada 59 peratus baru-baru ini.

Namun, kata beliau, dia dihalang dan tidak dipersetujui oleh timbalan beliau sendiri, Muhyidin dan 'warlords' dalam Umno.

"Ketika Najib lancarkan 1 Malaysia, Muhyidin kata, dia Melayu dahulu baru Malaysia.

"Ketika dia mahu mengenepikan Dasar Ekonomi Baru (DEB), untuk digantikan dengan dasar yang lebih liberal dan tender terbuka, dia dimarahi lagi oleh Muhyidin dan juga bekas PM, Tun Dr Mahathir...sejak itu Model Ekonomi Baru (NEM) tenggelam dan NEAC pun dah dibubarkan.


"Ketika Najib memberikan kebenaran kepada Bersih 2.0 untuk berhimpun di Stadium, ia dibantah oleh Hishamudin sendiri dan akhirnya beliau dilihat sebagai pemimpin yang flip flop.

"Semua ini menunjukkan apa yang dibuat Najib tidak disepakati dalam Umno dan Kabinet tetapi dinasihatkan oleh penasihat beliau sahaja," kata Dr Dzulkefly (gambar) yang juga AJK PAS Pusat.

Sejak kebelakangan ini, kesangsian ini semakin ketara ekoran peranan yang terlalu besar yang dimainkan oleh para penasihat dan konsultan Najib melalui Pemandu.

Pemandu pula dipimpin oleh dua Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala dan Datuk Dr Koh Tsu Koon di samping nasihat dari penasihat luar termasuk Apco.

Di bawah mereka dan pegawai Tingkat 4, Jabatan Perdana Menterilah terletaknya para penasihat Oxbridge ini yang tidak sensitif dengan perjuangan Melayu yang dikepalai oleh Muhyidin dan di sokong kuat oleh Mahathir dan Perkasa.

Mereka telah mengenepikan peranan pegawai kanan kerajaan yang hampir kesemuanya berbangsa Melayu yang berperanan besar selama ini melalui Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Unit Perancangan dan Koordinasi (ICU) Jabatan Perdana Menteri.

"Saya yakin, merekalah yang terlibat dalam perancangan untuk memansuhkan ISA kononnya untuk bergerak ke tengah dan menyebabkan Najib mengenepikan peranan rakan-rakannya dalam Umno dan Kabinet," Dr Dzulkefly memberikan analisanya.

Akibat dari pertentangan ini, kata beliau, akan ada gangguan yang jelas dari segi pelaksanaan pemansuhan ini nanti dan jika tidak terkawal akta ganti yang bakal digubal nanti akan lebih zalim dari ISA.

"Dalam hal ini, Najib nampaknya nekad. Hishamudin sebelum itu berkata, ISA tidak akan dimansuh tetapi pinda sahaja. Muhyidin pula kata, ia tindakan yang betul selepas dua hari pengumuman. Mahathir pula kata, ISA tidaklah kejam sangat.

"Semacam kabinet pun tak tahu apa yang Najib umumkan itu," kata beliau.

Kini selepas pengumuman itu dibuat, Najib pula semacam tidak bersedia untuk menjadi negarawan apabila berkata, ia bukan kejayaan desakan rakyat tetapi kebaikan Barisan Nasional (BN) memahami rakyat sahaja.

"Beliau sebenarnya hanya mengambil kira kepentingan politik ketika membuat pengumuman ini bukannya mahu mengembangkan minda rakyat.

"Kalau dia pentingkan perkembangan minda rakyat, dia akan utamakan pemansuhan-pindaan ke atas Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta Universiti dan kolej (AUKU), di samping ISA" kata Dr Dzulkefly lagi.

Beliau juga turut berkongsi kebimbangan dengan seorang pensyarah undang-undang bahawa pengumuman ini memberikan implikasi besar kepada pelaksanaan undang-undang di negara ini.

Apa pun cadangan ini mesti melepasi perbahasan di peringkat Dewan Rakyat dan Negara.

Yang penting kata beliau lagi, Najib telah mendapat habuan politik sebelum PRU ke-13.

Tidak ada jaminan bahawa dia tak akan flip-flop lagi walaupun dia berjaya membuktikan bahawa dialah bos hari ini, tegas beliau.