Sekumpulan lapan peneroka bulan lalu telah memenangi arahan mahkamah sementara bagi menghalang pemindahan saham mereka daripada Koperasi Permodalan Felda (KPF) kepada FGVH, langkah penting terhadap penyenaraian firma perladangan tersebut.
Namun begitu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata kepada pemberita ketika sidang media di Parlimen semalam berkata kerajaan tidak akan menangguhkan penyenaraian tersebut sehingga Jun kerana mahu mengambil kesempatan daripada harga minyak sawit mentah (CPO) yang tinggi.
Menurut beliau penyenaraian tersebut akan diteruskan sama ada peneroka tersebut memenangi injunksi terhadap pemindahan saham apabila kes tersebut akan didengar di mahkmah 22 Mac ini.
“Sekiranya kami tidak mampu mengenepikan injunksi yang dibuat mereka, kami tetap akan meneruskan penyenaraian ini. Kami perlu mengambil kesempatan sementara harga CPO masih lagi tinggi.
“Ini adalah faktor utama kenapa kami mahukan penyenaraian itu dilakukan pada May, tapi sekarang ia mungkin akan dilakukan pada Jun. Tapi kami akan teruskan tanpa KPF,” kata Ahli Parlimen Pontian ini.
Menurutnya, peneroka masih lagi boleh “melibatkan diri tapi pada harga yang lebih tinggi bukan pada harga penawaran awam.”
Kerajaan berkeras mereka menyokong “majoriti peneroka,” walaupun laporan sebaliknya daripada pembangkang.
Pengerusi FELDA Tan Sri Isa Samad telah mengumumkan badan khas (SPV) selepas mahkamah menghalang pemindahan saham untuk melindungi kebajikan 112,000 peneroka.
Isa berkata sebarang tindakan yang berpotensi daripada cadangan penyenaraian tidak akan dipindah melalui KPF, SPV berkenaan akan memastikan peneroka mendapat manfaat daripada penyenaraian dan penglibatan penuh terhadap mana-mana perkembangan yang berpotensi.
Namun PKR mendakwa SPV tersebut akan mengurangkan nilai penyenaraian FGVH, dan menambah keputusan itu dibuat atas arahan langsung badan koperasi.
KPF setakat ini mempunyai 220,000 ahli, yang mana 112,635 daripada jumlah itu adalah peneroka FELDA. Selebihnya adalah kakitangan dan anak-anak peneroka FELDA.
Reuters minggu lalu melaporkan Putrajaya akan menangguhkan penyenaraian berikutan penentangan peneroka, dan berkata perjanjian itu bakal menentukan sokongan Barisan Nasional (BN) daripada kumpulan pengundi yang sekian lama menjadi bank undi BN.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini berkata penyenaraian FGVH, yang diumumkan ketika Belanjawan 2012, dijangka akan dilangsungkan pada April berbanding pertengahan tahun sebagaimana rancangan awalnya.
Namun begitu pengkritik mendakwa cadangan penyenaraian akan menyaksikan kerugian sehingga RM1.5 bilion defisit tahunan.
Subsidiari FGVH seperti FELDA Iffco Sdn Bhd, FELDA Global Technologies, FELDA Global Ventures Middle East dan FELDA Global Ventures Arabia dilaporkan mengalami kerugian sekitar RM500 juta sehingga tahun lalu.
FELDA Holdings mempunyai tenaga kerja seramai 19,000, dengan buruh seramai 46,795 pekerja pada 300 ladang, 70 kilang sawit, tujuh kilang penapisan, empat kilang kennel, 13 kilang getah, kilang perusahaan, dan beberapa syarikat logistik dan pemasangan pukal di Malaysia dan beberapa lokasi di dunia.
Bekas Menteri Kewangan Tengku Razaleigh Hamzah turut mengkritik tindakan tersebut, berkata ia akan mendedahkan tanah peneroka kepada pasaran saham terbuka.
Namun bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahankan penyenaraian tersebut dan menyifatkannya sebagai “peluang terbaik” untuk perkembangan FELDA.
Malaysian Insider
Tiada ulasan:
Catat Ulasan