Khamis, 1 Mac 2012

Lebih 50 Peratus Pengundi Muda Sokong PR di Terengganu

Majlis Bersama Penurun Bendera Najib Adam Adli di Kampung Dusun Nyior Chukai menggambarkan orang muda sokong parti pembangkang.


Ambe rasa kalau pemimpin UMNO baca kenyataan ini, pucat lesi dan terkentot-kentotlah mereka.

Kena cari pil atau penawar buang angin serta merta.

Apa tidaknya?

Pengarah Pilihan Raya PAS Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah mendakwa sokongan pengundi muda terhadap Pakatan Rakyat (PR) di negeri itu melebihi 50 peratus ketika ini.

Walaupun tiada statistik secara tepat, namun katanya, dari segi anggaran umum melalui program anjuran PAS, penilaian pihaknya mendapati peratusan sokongan muda terhadap pembangkang melebihi separuh.

Menurutnya, sokongan tersebut berlaku di semua daerah di negeri ini dan kesemuanya menunjukkan sokongan yang hebat terhadap PR dengan kehadiran yang sangat besar setiap kali program diadakan.

“Dari segi peratusan, kita melihat sokongan melebihi separuh tetapi saya tidak berani meletakkan sama ada 60 peratus, 70 peratus dan sebagainya tetapi peratusan kehadiran orang muda sangat besar dalam program yang dianjurkan,” katanya kepada dihubungi, di Kuala Terengganu

Wan Sukairi berkata, pertambahan sokongan itu juga turut dirasakan sebaik sahaja manifesto pilihan raya PAS Terengganu diumumkan.

Beliau berkata, salah satu manifesto parti iaitu membuka peluang pekerjaan kepada 17,000 belia di negeri ini ternyata mendapat sambutan memberangsangkan daripada golongan muda.

Menurutnya, peluang pekerjaan yang sangat kecil di negeri ini menyebabkan kebanyakan mereka menaruh harapan tinggi terhadap pembangkang untuk memastikan perkara tersebut direalisasikan.

“Orang mudah minat dengan manifesto yang kita tawarkan itu kerana tiada kerja sekarang ini,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menganggap PAS tidak sukar mendapat sokongan muda ketika ini kerana sudah berlaku kebangkitan terhadap pembangkang di seluruh negara termasuk Terengganu.

“Insya-Allah, ia bukanlah tugas mudah kerana kita sudah mendapat kebangkitan daripada rakyat,” katanya.

Katanya, dalam usaha mengekalkan momentum sokongan terhadap PR, pihaknya mendekati golongan muda melalui sukan dan program tertentu seperti permotoran dan aktiviti berbasikal.

Selain itu, pihaknya melakukan aktiviti turun padang dengan memberi penjelasan secara langsung kepada anak muda mengenai tawaran PAS jika pembangkang berjaya memerintah Terengganu kelak.

Sumber Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan