Isnin, 9 April 2012

Ketengah Gagal Bela Penduduk, Projek Gagal Jana Pendapatan

Gambar: Roslan (tengah) bersama Mahfuz pada sidang di lobi Parlimen.

Badan Bertindak Pewaris Bumi Malaysia (Waris) mendakwa nasib masyarakat di kawasan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) tidak dibela kerajaan.

Presidennya, Roslan Ismail berkata, masyarakat di sana sejak sekian lama berdepan masalah tiada sumber pendapatan akibat kegagalan projek yang diusahakan pihak Ketengah.

Antara kegagalan yang boleh dilihat termasuk kilang IKS yang kini kosong, pangkalan bot Tasik Kenyir yang tidak berfungsi, kilang playwood yang tidak beroperasi, ladang kedondong yang tidak menjadi serta ladang misai kucing yang tidak membuahkan hasil.

Paling menyedihkan katanya, Kolej Ketengah yang menelan belanja lebih RM10 juta yang beroperasi sejak 2002 kini hanya ada 18 pelajar dan 16 pekerja.

Kegagalan projek-projek ini ujarnya telah menyebabkan masyarakat di dalam kawasan Ketengah tidak mempunyai pekerjaan seperti dijanjikan.

Meletakkan keadaan ini berpunca dari kegagalan Ketengah yang telah tersasar dari matlamatnya, Roslan bersama 10 rakanya tampil menyerahkan memorandum 12 tuntutan itu kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon campur tangan pihak Pakatan Rakyat.

Antara kandungan memorandum itu menuntut Ketengah menghapuskan hutang rumah rakyat yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan dan menyediakan pekerjaan alternatif kepada penduduk.

Mereka juga mahu Ketengah menyediakan sekurang-kurangnya 6 ekar tanah kepada setiap keluarga penduduk kekal sebagai ganjaran atas kesanggupan mereka untuk mendiami bandar Ketengah tanpa jaminan pekerjaan.

Selain itu mereka mendesak Ketengah menyediakan lot-lot tanah siap geran untuk generasi kedua dan ketiga.

Mereka juga menggesa Ketengah mengkaji semula peranan anak-anak syarikat agar tidak menjadi pesaing kepada peniaga tempatan.

Pada 27 Mac lalu, Waris telah merancang untuk menyerahkan memorandum sama kepada Ketengah, namun ianya kemudian dibatalkan selepas pihak Ketengah tidak membenarkan kesemua wakil mereka masuk untuk berbincang.

Harakahdaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan