Oleh SUHAIZAN KAYAT (Ketua Pemuda PAS Johor)
Saya mengucap ribuan terima kasih kepada Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Datin Jariah Binti Mohd Said yang telah menjelaskan hanya 14 orang warganegara Bangladesh yang layak mengundi di negara kita. Angka itu sudah tentu tidak membimbangkan rakyat Malaysia berhubung dengan pemberian hak kewarganegaraan kepada pekerja Bangladash.
Pemuda Pas Malaysia ingin menarik perhatian semua pihak bahawa terdapat 170,818 dalam Daftar Pemilih Induk(DPI) suku ke dua 2011 SPR yang mempunyai kod negara “71”. Berdasarkan kepada semakkan laman web JPN, tiada kod “71” disenaraikan sebagai kod rasminya.
Oleh itu, Pemuda Pas menganggap bahawa kod “71” adalah suatu kod warganegara yang tidak diketahui negara asal kelahirannya. Walaupun terdapat kecurigaan tetapi oleh kerana nama mereka berada dalam DPI maka mereka diberi hak mengundi bagi memilih ahli Parlimen dinegara kita.
42.33 % atau 72,742 pengundi yang tidak diketahui negara asal kelahiran ini adalah dari rumpun bangsa Cina iaitu Cina (71,252), Hokkien (521), Teochew (375), Cantonese (292), Foochow (135), Hainanese (119), Henghua (25) dan Hokchiu (23).
17.33 % atau 29,605 pengundi yang tidak diketahui negara asal kelahiran ini adalah dari rumpun bangsa India iaitu India (24,663), India Muslim (2,399), Punjabi (796), Sikh (639), Sri Lanka (346), Pakistani (328), Tamil (324), Tamil Sri Langka (67), Telegu (21), Malabari (12) dan Bangledeshi (10). Bangsa Bangledeshi adalah bangsa yang paling sedikit sekali menjadi pengundi di negara kita.
Menariknya bagi rumpun bangsa Indonesia yang pernah memanaskan negara dengan Isu Mismah suatu ketika dulu hanya meliputi 4.37 % atau 7,468. Mismah memiliki kod negara “71” dan telah menjadi warganegara pada 31 Januari 2011.
Pengundi daripada bangsa Indonesia yang tidak diketahui negara asal kelahiran ini dipecahkan kepada bangsa Indonesian (4,942), Bugis (1,356), Jawa (872), Banjar(240) dan Boyan(58).
Bagi pecahan agama daripada pengundi warganegara tidak diketahui negara asal kelahiran ini adalah Islam 37.7 % ataua 64,400 orang sahaja menakala 62.30 % atau 106,418 pengundi bukan beragama Islam. Pecahan bukan beragama Islam adalah seperti berikut Buddha (50,842), Tiada Maklumat (22,595), Hindu (12,698), Tiada Ugama (9,726), Kristian (8,437), Sikhism (2,037) dan lain-lain (83).
Menariknya bagaimana mereka yang tidak mempunyai makumat agama meliputi 13.22 % atau 22,595. Suatu jumlah yang sangat luar biasa.
Bagi pecahan mengikut negeri tempat mengundi pula adalah Selangor (29,758), Johor (28,164), Wilayah Persekutuan (17,548), Perak (16,680), Kelantan (15,345), Pulau Pinang (12,799), Sarawak (9,324), Sabah (8,590), Melaka (8,069), Negeri Sembilan (7,516), Pahang (6,495), Kedah (5,793), Terengganu (3,313) dan Perlis (941).
Ini bermakna bahawa negeri Pakatan Rakyat (PR) termasuk Perak dan Wilayah Persekutuan mempunyai pengundi yang tidak diketahui negara asal kelahiran seramai 57.32 % atau 97,923 orang. Suatu jumlah yang cukup besar yang mungkin boleh menumbangkan kerajaan yang memerintah.
Bilangan 170,818 adalah tidak termasuk nama Mismah dan senarai yang dibantah oleh PAS Selangor serta Pakatan Rakyat (PR) berjumlah 1,597 orang.
Pemuda Pas Malaysia menjangkakan bahawa terdapat lebih ramai lagi pengundi tidak diketahui negara asal kelahiran ini dalam Daftar Pemilih Induk(DPI) suku ke-3 2011. Dijangka DPI suku ke-3 2011 ini akan digunakan untuk pilihanraya akan datang.
Persoalannya yang mahu diutarakan kepada JPN adalah :
1.Mengapa JPN menggunakan kod negara “71” sedangkan setiap negara seluruh dunia sudah mempunyai kod negara kelahiran yang telah ditetapkan oleh JPN sendiri.
Dalam Kes Mismah yang sepatutnya menggunakan kod negara Indonesia “61” tetapi Mismah diberi kad pengenalan berkod negara “71”. Rujuk laman web JPN : http://www.jpn.gov.my/kodnegara dan http://www.jpn.gov.my/kodnegeri .
2.Kenapa begitu ramai sehingga 170,818 warganegara yang tidak diketahui negara asal kelahirannya dan mereka layak mengundi. Bilangan ini terlalu mencurigakan. Apakah ada agenda tersembunyi dibelakang JPN bagi tujuan manipulasi pilihanraya?
3.Apakah suatu kebetulan atau sememangnya satu perancangan bahawa negeri Pakatan Rakyat mempunyai bilangan paling ramai pengundi yang tidak diketahui negara asal kelahirannya iaitu 57.32%?
Pemuda Pas Malaysia beharap pihak Ketua Pengarah JPN Datin Jariah Binti Mohd Said tidak mendiamkan diri bagi setiap persoalan yang dibangkitkan.
Semoga pihak Ketua Pengarah JPN dalam keadaan sihat bagi memudahkan menjawab segala persoalan yang dibangkitkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan