Isnin, 19 September 2011

Shabery Cheek atau Nasir Fikri Ganti Ahmad Said?

Tajuk asal - 'Cah Keting' Amalan Berdarah Daging Dalam UMNO

Selepas menghadiri majlis buka puasa dan hari raya PEKIDA baru-baru ini, saya diminta komen oleh wartawan akhbar Sinar harian, tentang amalan 'cah keting' dalam UMNO Terengganu'.

Saya tak tahu apa tujuan wartawan tersebut bertanya saya soalan tersebut. Mungkin kerana kenyataan yang dikeluarkan oleh mantan Ahli Parlimen Kuala Nerus Che Azmi Abdul Rahman mengenai jangkaannya 'cah keting' akan terus berlaku dalam UMNO Terengganu.


Sebenarnya, Che Azmi bercakap dari hatinya 'speak from his heart', kerana Che Azmi adalah dianggap 'mangsa' dalam 'cah keting' UMNO Terengganu menjelang pilihanraya umum 2008. Selain Che Azmi, banyak lagi mangsa yang dimakan oleh 'pemangsa' dalam UMNO.

Antaranya, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said (ambil title penuh sementara masih ada) yang juga ADUN Kijal. Semua orang tahu, bekas Menteri Besar, Idris Jusoh mahu menggantikan Ahmad Said dengan orang lain.
[Gambar - Awang Tera ADUN Chukai dan Exco Kerajaan Terengganu hadir bersama dalam majlis berbuka puasa dan Hari Raya PEKIDA]

Yang sama antara Ahmad Said dengan Idris Jusoh adalah, dua-dua orang 'gedebe' dalam UMNO, seorang dari Selatan dan seorang dari utara. Yang bezanya, Ahmad Said lebih lama dari Idris dalam politik Terengganu. Sebab itu walaupun Idris yang merancang segala penipuan pilihanraya dalam tahun 2004, namun Ahmad Said menggantikannya ketika Idris ditendang dari Wisma Darul Iman.

Bagi saya 'cah keting' sudah mendarah daging dalam UMNO, bukan setakat amalan dan budaya, tetapi sudah jadi 'ritual'. Sebab itu timbul cerita tentang ahli-ahli UMNO ketika mereka 'orang iasa' dan ketika mereka mendaki dan berada di puncak kuasa.

Ahli biasa UMNO, suami isteri, apabila bangun dari tidur pada waktu pagi, si isteri akan bertanya kepada suaminya, "Abang, kita nak makan apa pada hari ini?,"

Apabila telah meningkat menjadi pemimpin pertengahan, menjadi kroni kepada pemimpin atasan, mendapat anugerah projek atau konsesi balak, maka si isteri akan bertanya kepada suaminya apabila bangun dari tidur,"Abang kita nak makan di mana hari in?,".

Apabila menjadi pemimpin yang lebih tinggi, peringkat negeri atau peringkat pusat, dipuncak kuasa, ada wang ringgit dan kekayaan, ahli UMNO suami isteri sudah tidak tinggal lagi di rumah kampung, tetapi tinggal di banglo ratusan ribu, malah jutaan ringgit.

Maka, ketika itu, si isteri ketika bangun dari tidurnya akan bertanya kepada suami, "Abang kita nak makan siapa pada hari ini?,"

Sebab itu, apabila kita pergi ke Kuala Nerus pada hari ini, pasti terdengar khabar, Datuk Nasir Ibrahim Fikri sedang menggerakkan jenteranya untuk 'mencah keting' ADUN Seberang Takir. Khabarnya, Naib Presiden UMNO Zahid Hamidi terpaksa turun cuba mendamaikan 'pertelagahan' antara Nasir dan ADUN Seberang Takit, Ahad Razif Ab Rahman.

Nasir bercita-cita untuk mengikut jejak langkah ayahnya, menjadi Menteri Besar Terengganu. Oleh yang demikian, dia perlu mengembalikan nostalgia untuk kembali ke Seberang Takir umpama 'sirih pulang ke gagang'

Tetapi kalau kita ke Hulu Terengganu, lain pula versi 'Menteri Besarnya'. Tengku Putera pula sedang menyiapkan hulubalangnya, untuk bertempur dengan si budak hingusan Rozi Mamat.

Tengku Putera akan menjadi Menteri Besar selepas pilihanraya umum ke-13, oleh itu beliau mesti bertanding di kawasan asalnya, DUN Telemong.

Dalam Majlis berbuka puasa dan hari raya PEKIDA di Chukai, lain pula khabar ceritanya, lain pula Menteri Besarnya.

Ahmad Said pada kali ini sudah hampir pasti tidak akan lagi menjadi Menteri Besar Terengganu. Tempoh sepenggal sejak 2008 sehingga pilihanraya umum ke 13, adalah hanya 'tempoh pinjaman' kepada Mad Said.

Bahkan yang paling hebat, desas desus lama yang pernah dinafikan oleh Mad Said akan menjadi kenyataan, umpama 'impian Idris, yang menjadi realiti'.

Mad Said akan di'cah keting'kan dan dibuang dari negeri Terengganu apabila ada pihak yang sedang mengatur, ADUN Kijal itu akan bertanding di parlimen Kemaman. Makan dengan itu, ahli parlimen masakini, Shabery Cheek akan turun bertanding di DUN Chukai.

Di Kuala Nerus, ritual cah keting UMNO adalah Nasir (Botok) akan jadi Menteri Besar. Di Hulu Terengganu, Tengku Putera pula akan menjadi Menteri Besar.

Maka, di Kemaman pula, ritual 'cah keting' UMNO adalah, Shabery Cheek akan menjadi Menteri Besar Terengganu, menggantikan Mad Said!!!

BuletinOnline ( 3 September 2011)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan