Isnin, 26 September 2011

Perbelanjaan Defisit & Hutang Awam Melebihi RM1b...MEMBIMBANGKAN!


Kita kini menunggu analisis Ketua Audit Negara terhadap kedudukan kewangan Kerajaan Negeri Terengganu 2010.

Untuk 2010, Kerajaan Negeri diminta merancang perbelanjaan dengan cekap dan berhemat selaras dengan dasar Kerajaan Negeri tanpa menjejaskan mutu perkhidmatan dan pembangunan ekonomi negeri.

Selain itu, tindakan berterusan perlu diambil untuk mengutip tunggakan hasil dan tunggakan bayaran balik pinjaman kepada Agensi Negeri.

Walaupun pada akhir tahun 2009 ia berada pada tahap memuaskan namun dibimbangi sangat ialah kecairan tunai semasa Kerajaan Negeri adalah rendah kerana aset semasa tidak dapat menampung jumlah tanggungan semasa.

Kedudukan Wang Tunai Kerajaan Negeri menunjukkan penurunan dari tahun 2007 hingga 2009.

Sehingga akhir tahun 2009, Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Negeri telah mencatat penurunan sejumlah RM164.20 juta atau 40.6% kepada RM240.45 juta berbanding RM404.65 juta pada tahun 2008.

Manakala Akaun Hasil Disatukan mencatatkan defisit pada tahun 2009 sejumlah RM274.05 juta menjadikan defisit terkumpul meningkat kepada RM699.01 juta berbanding RM424.96 juta pada tahun 2008.

Walaupun jumlah perbelanjaan menurun sejumlah RM5.04 juta tetapi penurunan ini kurang berbanding penurunan hasil yang berjumlah RM132.55 juta pada tahun 2009.

Ini bermakna Kerajaan Negeri masih menggunakan sumber daripada Akaun Amanah Disatukan sebagaimana tahun 2008 bagi menampung defisit tersebut. Kerajaan Negeri juga telah melupuskan kesemua Pelaburan Am berjumlah RM6 juta bagi menampung perbelanjaan.

Penyata Akaun Memorandum menunjukkan Aset Kerajaan yang terdiri daripada Pinjaman Boleh Dituntut, Pelaburan dan Tunggakan Hasil berjumlah RM455.58 juta tidak dapat menampung Tanggungan iaitu Hutang Awam yang berjumlah RM1.01 bilion.

Bagaimanapun, jumlah Pinjaman Boleh Dituntut telah menurun sejumlah RM8.72 juta atau 2.6% menjadi RM328.01 juta pada tahun 2009, manakala Tunggakan Hasil telah mengalami penurunan sebanyak 16% atau RM1.91 juta kepada RM10.02 juta.

Apakah kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Ahmad Said dan Setiuasaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah sudah mengambil langkah-langkah yang dinasihati Ketua Audit Negara ini?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan